Program Gaya Hidup Sihat Peringkat Kompleks Penjara Kajang yang bertemakan 'I Love Sihat' dengan kerjasama Seksyen Pemulihan dan Rawatan, IPPM dan Penjara Kajang telah diadakan pada 14 April 2012 ( Sabtu) bertempat di Dewan Kelab Penjara Kajang. Program yang dihadiri hampir 300 orang kakitangan berserta keluarga bermula seawal jam 7.30 pagi dimana diadakan sesi pendaftaran dan edaran beg Pemakanan Sihat. Kehangatan program dimulakan dengan "aerodance" di ikuti pemeriksaan kesihatan di bawah kelolaan Dr Navin Nath A/L Gopenatan dari Seksyen Pemulihan dan Rawatan, IPPM dan Dr. Raja Ramu Perappu dari Penjara Wanita Kajang dibantu oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hj. Mohd Mokhtar Bin Abd. Rahman serta 6 orang "Medical Orderly" yang terlatih. Seramai 95 orang peserta telah menyertai kempen derma darah oleh Pusat Tabung Darah Negara dan 60 orang peserta untuk pertandingan mewarna kanak-kanak. Selain daripada itu diadakan juga jualan T-shirt I Love Sihat oleh pihak Urusetia Program. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah oleh PKP Raha Binti Jawahir, Pengarah Penjara Wanita Kajang.
""